~Duka kepergian~



Tanggal 6 Jun 2009, 
perginya Ustadz Baharuddin Mardhia, 
seorang insan bergelar GURU dalam hidup ana. 
Apa yang menyedihkan, khabar kepergian beliau 
ana ketahui lima hari kemudian. Kebetulan 
pada hari yang sama ana bersama suami 
menghadiri majlis perkahwinan 
sepupu suami ana.
Mendengar berita itu daripada ibu 
dan dua orang sepupu, 
ana hanya mampu menitiskan air mata. 
Namun ana bersyukur 
kerana hasrat ana agar 
beliau menjadi wali wakil 
yang menikahkan ana tercapai. 
Ana memilih arwah kerana beliau 
adalah orang yang mengenalkan ana 
hakikat Allah, mengajarkan ilmu 
dan hakikat Islam 
yang sebenar kepada ana.

Alhamdulillah, kepada Allah 
ana memanjatkan kesyukuran 
kerana menghadirkan beliau 
di tanah yang gersang Islam. 
Budi arwah terlalu besar 
pada seluruh penduduk 
Kampung Tandek, Kota Marudu Sabah. 
Arwah merupakan seorang pendidik 
yang taat dan berbakti kepada agama Islam. 
Arwah sangat disegani 
oleh para penduduk kampung.

Arwah adalah orang Jawa Indonesia. 
Beliau berhijrah ke Sabah 
dan berkahwin 
dengan Puan Rosmih Hj Jamal, 
seorang bekas Penolong Kanan 
Hal Ehwal Murid 
di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 
dan kini sebagai Pengetua 
di Sekolah Menengah Kebangsaan Matunggong. 
Arwah meninggalkan 5 orang cahaya mata.

Mengenang jasa beliau, 
ana benar-benar merasa kehilangan. 
Mana kan tidak, arwah lah yang mengajar ana 
dan anak-anak kampung mengenal Allah SWT. 
Beliau mengajarkan wudhu’, solat, do’a, 
membaca AlQuran 
dan segalanya tentang Islam. 
Beliau lah pengganti para ibu bapa 
yang jahil dan cetek pengetahuan Islam 
kepada anak-anak mereka.

Kini, beliau telah tiada. 
Kampung Tandek kehilangan 
seorang pejuang Islamnya. 
Ke mana lagi arah anak-anak kecil 
di kampung itu nanti? 
Walhal, kampung itu ketandusan ilmuan 
yang benar-benar mahu mendidik anak-anak 
dan penduduk kampung tentang Islam. 
Padahal, kampung itu sangat memerlukan 
seorang pendidik seperti beliau.

Ya Allah, dengarkan bisik kalbu ini..

Hantarkanlah seorang hamba yang taat pada_Mu, 
ikhlas pada_Mu dan berjuang demi agama_Mu 
ke kampung hamba_Mu ini ya Allah. 
Hamba tidak sanggup melihat agama_Mu 
diserakahi kejahilan-kejahilan hamba-hamba_Mu 
di kampung itu. 
Gantikanlah apa yang telah Engkau ambil 
kerana Engkau Maha Tahu 
kemusnahan ‘aqidah yang berlaku.

Wahai pemilik kasih sayang, 
hamba berharap suatu hari nanti 
atas kekuasaan_Mu 
mengizinkan hamba berjuang di tanah itu. 
Seizin kasih_Mu,  
berikan hamba kesempatan 
untuk membenihkan Islam 
di hati anak-anak kampung itu kelak. 
Kasihani anak-anak itu, 
kasihani kami ya Allah, 
hamba yang menzalimi diri sendiri. 

Al-Fatihah!

No Response to "~Duka kepergian~"